Persoalannya: KE MANA WANG ANDA?

Merancang kewangan peribadi mahupun keluarga perlu dilakukan dengan teliti serta seawal yang mungkin. Tingkatkan ilmu kewangan, jadi bijak wang dan mulakannya sekarang!

Pahatkan di minda: "sediakan payung sebelum hujan".

Put in mind: "it wasn't raining when Noah built the ark".

Faham Bahasa = Komunikasi Berjaya

Ditulis oleh: HEALMIE ZAHARI Friday, April 23, 2010 0 Komen

Bekas Presiden British, Tony Blair sering kali menjadi bahan jenaka di ruangan media kerana kesilapannya dalam menyebut perkataan 'assure' menjadi 'ashooer'. Kelihatan seolah satu kesilapan yang ringkas dan tidak perlu diperbesarkan tetapi itulah silapnya, jangan sesekali memandang rendah pada teknik berkomunikasi kerana pengaruhnya amat besar pada zaman ini.

Lihat pada gambar iklan 'hotdog' di atas yang dieja menjadi 'hokdok' dan senarai harga jualannya yang mengelirukan. Sudah pasti pengunjung akan sentiasa terkeliru dan mentertawakan pemiliknya setiap kali mereka berkunjung ke situ.

Sebab itulah penting bagi setiap individu baik ahli politik mahupun penjual 'hotdog' mempelajari teknik berkomunikasi dengan betul kerana bahasa sememangnya mencerminkan peribadi, hasrat dan keintelektualan. Seperti kata Profesor Dr. Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (UPK) dalam bukunya yang bertajuk Panduan Pengucapan Awam (2002), hanya komunikasi yang berkesan yang dapat mengubah pendengar dari segi pemahaman, pengertian, kepercayaan, sikap, dan kesediaan mereka untuk bertindak.

Oleh itu, jika ingin menjadi seorang komunikator yang berjaya seseorang itu mestilah memastikan mesej yang disampaikan olehnya diterima dan difahami oleh penerima. Sebarang respon adalah bonus, bergantung kepada tujuan komunikasi itu diwujudkan. Jika anda merupakan seorang pemidato yang berucap di pentas kebiasaannya anda tidak memerlukan respon, tetapi jika anda adalah seorang promoter yang sedang mempromosikan perkhidmatan atau produk sudah semestinya anda mengharapkan respon sebagai pelengkap kepada persembahan anda.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan dalam memperbaiki dan meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi:
  1. PENGETAHUAN : Perbualan tanpa ilmu ibarat percakapan kosong yang tidak membawa makna. Seeloknya persiapkanlah diri dengan ilmu yang bersesuaian dan pada masa yang sama buka minda anda untuk menerima ilmu yang mungkin akan disampaikan oleh pihak kedua. Ini penting bagi mengelakkan ketandusan idea atau komunikasi menjadi tergagap-gagap.
  2. LATIHAN : Tiada individu yang dilahirkan dengan keupayaan semulajadi untuk berucap di khalayak umum atau mempromosikan produk perniagaan, semua kemahiran ini diperolehi melalui latihan. Setiap orang perlu melalui peringkat rasa malu, buat silap dan tiada idea (blank) sebelum berjaya menjadi komunikator yang berjaya. Berlatihlah dengan membuat skrip, berdialog di dalam hati, membaca di hadapan cermin atau kawan-kawan.
  3. MENGAKU SALAH : Akui kesilapan jika ternyata anda silap. Sesetengah individu enggan mengakui kesilapan mereka dengan alasan 'nasi sudah menjadi bubur' sedangkan mereka tidak tahu kemungkinan buruk yang akan berlaku jika dibiarkan maklumat yang salah itu terus disebar-sebarkan. Sebaik-baiknya anda meminta maaf dan memberi maklumat yang lebih tepat.
  4. LIHAT MATA : Pendengar akan lebih yakin dan mudah terpengaruh jika kita berkomunikasi sambil memandang mata atau wajah mereka. Ini akan menimbulkan keyakinan dan rasa selamat, sekalipun maklumat itu tidak benar. Buktinya adalah ramai yang terpedaya dengan kata-kata geng 'skim cepat kaya' walaupun mereka sekadar berucap kosong dan tidak menggunakan ilmu hitam.
  5. HUMOR : Bukan semua orang mampu membuat lawak atau berjenaka dalam perbualan, tetapi apa salahnya mencuba? Caranya mudah, hari ini anda dengar seorang teman pejabat berjenaka tentang sesuatu topik dan apabila anda bertemu rakan yang lain di kedai kopi cubalah mengulangi jenaka yang sama. Siapa tahu mungkin akan timbul keserasian dan perbualan akan jadi lebih santai.
  6. INTERAKSI : Komunikasi sehala tidak selalunya bagus. Ia seolah menyekat kebebasan bersuara dan mengurangkan manfaat yang mampu diperolehi dari perbualan itu. Cuba libatkan pendengar dalam komunikasi dengan cara mengajukan soalan atau meminta pandangan peribadi mereka. Ini sekaligus akan mengelakkan mereka menjadi bosan dan hilang minat.
  7. MEMBACA : Jika anda ingin menjadi lebih mahir dalam berbahasa, samada melayu atau inggeris atau lain-lain, amalkan membaca dan menyebut secara serentak. Contohnya dengan membaca akhbar dan menyebut secara perlahan, atau membaca novel bahasa inggeris dan menyebutnya secara perlahan, ini akan mempercepatkan anda menguasai bahasa berkenaan sekaligus meningkatkan kemahiran dalam berkomunikasi.
  8. EKSPRESI : Bertenang dan sentiasa senyum. Jika perlu, beri respon lain sekadar yang diperlukan. Jangan mudah goyah atau melenting jika ada pihak tidak bersetuju atau membangkang ucapan anda. Biarkan mereka menghabiskan ucapan sebelum anda memberikan maklum balas. Pastikan senyuman tidak lekang dari bibir sebagai tanda anda yakin pada kebenaran dan tidak mudah mengalah.
  9. IDOLA : Jika anda masih gugup, cubalah meniru gaya idola anda. Jika anda meminati seorang tokoh usahawan muda, berucaplah dengan gaya beliau jika itu mampu memberi anda keyakinan dan kefasihan. Tidak semestinya perlu bercakap tanpa henti seperti mereka, cukuplah sekadar mengambil semangat dan keyakinan mereka buat pedoman dan panduan ketika berkomunikasi.
  10. BERSEDIA : Pastikan anda mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan sebelum berucap atau membuat persembahan. Periksa catatan dan bahan-bahan yang akan digunakan sebelum majlis bermula. Jangan cemas dan sentiasa bertenang supaya anda tidak mengalami 'darah gemuruh' nanti. Sebaik-baiknya berselawat dan mulakan dengan memuji nama Allah. Semoga berjaya! :-)

Program Taawon: pengalaman saya

Ditulis oleh: HEALMIE ZAHARI Thursday, April 8, 2010 2 Komen

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat anda semua. Apa khabar anda hari ini? Semoga sihat dan ceria-ceria selalu, insyaAllah...


Hari ini saya ingin berkongsi satu kisah drama penuh emosi bersama anda. Kisah saya 'menerjah' satu taklimat perniagaan yang secara kebetulan diadakan pada hari Jumaat yang lalu di sebuah dewan berhampiran kediaman saya. Nama dan tema program ini adalah "Taawon: bantu membantu sesama muslim".

Saya tahu mengenainya melalui sehelai kertas yang saya temui pada wiper kereta selepas solat Jumaat, 1 jam sebelum majlis bermula. Setibanya saya di situ kelihatan ada hampir 25 tetamu (tidak termasuk kanak-kanak) berada di dalam dewan. Setiap orang perlu mengisi nama pada borang yang disediakan dan melalui borang itu saya mendapati separuh hadirin adalah mereka yang telah menyertai program ini.

Saya meluangkan 1 jam masa berharga saya untuk mendengar penerangan tetamu jemputan yang seperti diberitahu pengerusi majlis telah memperolehi keuntungan puluhan ribu ringgit dalam masa setahun menjadi ahli. Seperti biasa, penerangan dan paparan komputernya dipenuhi dengan gambar duit, kereta, rumah dan angka ribu-ribu.

Terlihat pada wajah hadirin yang hadir suatu harapan seolah-olah semuanya sudah hampir dalam genggaman. Sekali-sekala mereka merenung wajah insan tersayang dan anak-anak yang dibawa bersama. Saya hanya mampu berharap apa yang saya bakal lakukan akan membuka mata mereka atau setidaknya membantutkan hasrat mereka lalu berfikir sebelum menyertai.

Dan, saya melakukannya. Selepas sesi penerangan tersebut saya terus mengajukan soalan-soalan yang saya rasakan perlu dan soalan yang paling penting adalah mengenai sistem program ini; adakah sistem ini sah di sisi Islam & siapakah Penasihat Syariah yang telah mengkaji dan memperakuinya? Maka seluruh mata memandang saya dan seperti yang saya jangka beberapa orang ahli senior mula mengatur langkah mengerumuni saya lalu bermula sesi soal-jawab 'panas' di dalam dewan berkenaan.

Paling tidak dapat saya lupakan adalah perdebatan dengan seorang wanita yang saya bahasakan dirinya 'akak'. Beliau ini dikhabarkan telah memperolehi pulangan melebihi RM100,00. Beliau mempersoalkan siapa untuk bertanyakan soalan-soalan seperti itu dan saya menjawab saya hanya orang biasa yang ingin tahu, Lalu ditempelaknya saya sambil berkata ramai orang dah sertai dan semuanya berpendidikan tinggi jadi tak perlulah dipersoalkan lagi. Apabila saya mengatakan sistem ala piramid ini tidak menepati syariat Islam beliau mempersoalkan pula tahap pendidikan saya. Saya menjawab "ijazah sarjana muda. Akak pulak kelulusan apa?" dan beliau menjawab "Akak ni pengetua tau, jangan cuba nak ajar-ajar akak!"

Memang saya akui saya terkejut amat. Seorang pengetua! Tapi saya masih tidak berpuas hati lalu saya tanyakan di sekolah mana beliau mengajar dan jawapannya........"Akak pengetua tadika, akak ada pusat jagaan kanak-kanak." Saya geleng kepala, nyaris-nyaris saya terpedaya.

Penat melayan kerenah mereka dan bimbangkan keselamatan diri, saya meminta diri untuk beredar dan sebelum itu saya beritahu kepada mereka "Dapatkan pengesahan Penasihat Syariah yang bertauliah dan saya sendiri akan menyertai program ini!"

Berikut merupakan sebahagian kandungan sesi perbentangan program Taawon ini, renung-renungkan dan selamat menjadi 'kaya' ;-p


Jutawan "TIN KOSONG"

Ditulis oleh: HEALMIE ZAHARI Saturday, April 3, 2010 1 Komen

Malaysia pernah menyiarkan sebuah rancangan menguji minda bertajuk "Who Wants To Be A Millionaire" yang mendapat sambutan hangat di televisyen. Dengan hanya menjawab soalan-soalan yang disediakan mengikut tahap kesukaran tertentu peserta yang bermodalkan minda genius (atau sekadar bernasib baik) mampu meraih wang tunai yang lumayan atau kehilangan keseluruhannya. Modalnya hanyalah "MINDA".

Ya, akal kita atau minda adalah alat yang sangat penting. Tanpanya kita tidak mampu mengawal pergerakan, membuat kiraan matematik atau yang paling penting menjadi KAYA. Adalah sangat mustahil untuk seorang yang kurang waras melakukan sesuatu yang boleh menyumbang kepada dirinya menjadi kaya. Untuk menjadi kaya memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang rapi serta melalui tempoh-tempoh yang tertentu, mungkin 5 tahun atau 10 tahun atau lebih. Hanya orang yang 'putus wayar' sahaja percaya dia boleh menjadi jutawan selepas menyertai sesuatu 'perniagaan goyang kaki' dalam masa sebulan atau setahun . Maaf jika ada yang terasa.

Sering kali saya tekankan kepada pelabur dan bakal pelabur saya bahawa pelaburan bukanlah 'skim cepat kaya'. Ianya menguntungkan tetapi anda perlu bersabar dan jika boleh fahami pelaburan anda supaya tidak ditipu oleh sesiapa. Kenapa penting untuk memahami soal pelaburan jika konsultan boleh menguruskannya? Kerana konsultan (seperti saya) mungkin akan menipu anda, dan kerana jika anda faham anda akan lebih cepat jadi kaya (dengan syarat anda sabar menunggu).

Jangan segan untuk bertanya konsultan anda kerana ianya percuma, belajar mengenai pelaburan, ketahui bagaimana ia berfungsi, kerana anda tidak akan rugi. Di bawah saya sertakan kisah sebenar orang yang tidak malu menimba ilmu mengenai pelaburan dan dia menjadi jutawan yang sebenar. Sehingga kita berjumpa lagi di PandaiSimpan, saya ucapkan Assalamualaikum dan salam sejahtera :-)


SKELLEFTEA, Sweden - Seorang lelaki berumur 60 tahun di sini memiliki kekayaan rahsia lebih AS$1.6 juta (RM5.21 juta) menerusi pelaburan dengan cuma bermodalkan wang yang diperoleh daripada mengutip dan menjual tin kosong, lapor sebuah akhbar semalam.

Lelaki itu, Curt Degerman yang digelar Kurt Tin Kosong, meninggal dunia 18 bulan lalu manakala saudara-maranya bertengkar berhubung siapa sepatutnya mewarisi kekayaannya.

Sejak 40 tahun lalu, Degerman dipandang rendah oleh masyarakat kerana menyara hidupnya dengan menyelongkar tong-tong sampah untuk mencari tin kosong dan menjualnya di sebuah loji kitar semula.

Bagaimanapun, setelah dia meninggal dunia semasa berusia 60 tahun akibat serangan jantung, saudara-maranya mendapati dia memiliki wang AS$1.1 juta (RM3.58 juta) dalam satu akaun bank Switzerland.

Mendiang turut menyimpan jongkong emas bernilai kira-kira AS$378,000 (RM1.2 juta) selain wang AS$1,358 (RM4,428) di rumahnya.

Di sebalik penampilannya yang selekeh, Degerman sebenarnya seorang pelabur aktif dalam pasaran antarabangsa.

Selain memakan sisa makanan daripada tong sampah dan memakai sehelai kot kotor, dia akan meluangkan masa di perpustakaan awam pada setiap hari untuk mengkaji berita kewangan di akhbar.

"Dia pergi ke perpustakaan setiap hari kerana tidak membeli akhbar. Di perpustakaan itu, dia membaca akhbar kewangan Dagens Industri," kata seorang sepupunya.

"Dia amat arif tentang perkembangan semasa," tambahnya.

Jutawan itu disifatkan saudara-maranya sebagai seorang kanak-kanak genius yang berhenti sekolah kerana krisis peribadi.

Kekayaan lelaki itu akhirnya dikongsi oleh dua sepupunya dalam satu penyelesaian di luar mahkamah. - Agensi

PERIBADI PENULIS

My Photo
Saya membantu anda mencapai impian kehidupan melalui perancangan kewangan Islam yang strategik dan sistematik. Hubungilah saya: HEALMIE ZAHARI di 013-9716654 / 012-2395106 / pandaisimpan@yahoo.com

AHLI KOMUNITI "PANDAI SIMPAN"

CHATTING DI "PANDAI SIMPAN"