KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Sebanyak 2.3 juta permohonan atau 48 peratus daripada jumlah permohonan yang diterima oleh institusi pengeluar kad kredit telah diluluskan tahun lepas.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dalam usaha mempromosikan penggunaan pembayaran secara elektronik, BNM menggalakkan penggunaan kad kredit sebagai kaedah pembayaran secara elektronik dan bukannya sebagai sumber kredit yang mudah.
"BNM sentiasa memantau perkembangan kad kredit di negara ini serta mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan penggunaan dan pengeluaran kad kredit adalah secara berhemah dan tidak menjurus kepada masalah keberhutangan yang berlebihan," katanya.
"Penggunaan mesin ATM pada masa kini bukan sahaja untuk pengeluaran wang tunai, tetapi telah diperluaskan untuk pembayaran bil, pemindahan dana antara bank, pembayaran untuk permohonan saham secara elektronik dan juga urus niaga tambah nilai MEPS Cash, Touch 'n' Go dan nilai prabayar mudah alih," katanya.
Najib berkata dalam usaha mempertingkatkan kaedah e-pembayaran, kerajaan menggalakkan penggunaan kad pembayaran seperti kad debit dan kad kredit berbanding dengan pembayaran secara tunai kerana ia menjimatkan kos berikutan pengurangan pengendalian wang tunai dan peningkatan kecekapan operasi serta produktiviti.
Beliau berkata kad kredit juga merupakan instrumen pembayaran elektronik yang lebih digemari bagi pembayaran dalam talian.
Menjawab soalan bertulis dari Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) mengenai jumlah hutang yang dikategorikan sebagai tertangguh dari pemegang kad kredit di seluruh negara, Najib berkata baki tertunggak dari pemegang kad kredit pada akhir tempoh Januari lepas berjumlah RM27.1 bilion.
"Daripada jumlah baki tertunggak tersebut, sebanyak RM24.7 bilion merupakan baki semasa manakala baki tak berbayar berjumlah RM500 juta," katanya.
sumber : BERNAMA

Sesiapa yang cemburu melihat 'orang-orang kaya' membuat bayaran menggunakan kad kredit setiap kali beratur di kaunter membeli-belah sila angkat tangan. Jika anda mengangkat tangan, tulisan hari ini memang untuk anda.
Fakta yang pertama, yang paling benar dan patut anda tanam di minda sedalam-dalamnya iaitu pengguna kad kredit adalah orang yang pokai! Ini adalah kerana mereka tidak mempunyai wang yang cukup dalam poket dan terpaksa membuat bayaran menggunakan duit bank yang dipinjam, cukup bulan bil bayaran akan dihantar dan mereka perlu menjelaskan bayaran beserta yuran perkhidmatan. Sama macam orang yang makan di gerai, lepas makan jerit "mamak, masuk buku ye!" dan apabila cukup bulan mamak akan tunjuk buku dan minta duit. Bergayakah begitu?
Fakta yang kedua, yang juga sangat benar dan diakui oleh seluruh dunia iaitu terlalu ramai orang tidak mampu membayar hutang kad kredit! Ini adalah kerana hutang kad kredit boleh di bayar secara ansuran dan ramai orang memilih untuk membayar kadar minimum setiap bulan. Ini bermakna jika mereka belanja RM3000 pada bulan Januari, mereka hanya membayar RM300 (10%) pada akhir bulan dan baki tertunggak RM2700. Seterusnya mereka belanja RM2000 pada bulan Februari dan selepas ditambah baki bulan sebelumnya RM2700 mereka hanya membayar RM470 (10%). Cuba bayangkan jika perbelanjaan ini diteruskan selama setahun dan mereka hanya membayar secara minimum setiap bulan? Gulung tikarlah jawapannya...
Fakta yang ketiga, diakui oleh semua pemegang kad kredit dan sangat disukai oleh semua bank iaitu seorang individu kebiasaannya mempunyai lebih daripada satu kad kredit! Ya, pada mulanya kita mungkin hanya memiliki sekeping kad kredit. Tapi apabila kita sudah berbelanja hingga ke had perbelanjaan yang ditetapkan (biasanya RM20,000 dan ke atas) dan tidak membuat bayaran penuh, kad kita akan disekat dan tidak boleh digunakan lagi. Lalu kita akan membuat kad kredit baru di bank lain dan terus berbelanja (baca: berhutang) lagi dan seterusnya memohon kad kredit baru lagi. Saya sendiri mengenali dua orang akauntan bertauliah yang bergaji besar tetapi pernah terperangkap dengan hutang kad kredit yang mencecah puluhan ribu ringgit. Itu akauntan bertauliah, anda bagaimana?
Persoalannya: Bagaimana caranya jika saya ingin berlagak kaya dan membuat pembayaran menggunakan kad plastik?
Jawapannya: Gunakanlah kad debit (pastikannya islamik)!

Kad debit sama juga seperti kad kredit di mana kita boleh menggunakannya untuk membuat bayaran di seluruh dunia. Jika anda ke London, Paris atau Sumatera sekalipun tiada masalah untuk menggunakannya. Yang membezakannya adalah perbelanjaan kita ditolak daripada duit yang disimpan di dalam akaun bank yang berkenaan.
Saya sekarang menggunakan Kad Debit Islamik sebuah bank tempatan. Jika selepas ini anda lihat saya membeli-belah dan membayar menggunakannya itu bermakna saya membayar menggunakan wang di dalam akaun bank saya, bukan masuk buku hutang.
Kad Debit juga mengajar kita supaya tidak berbelanja melebihi kemampuan kewangan sendiri. Jika anda ada RM10,000 maka berbelanjalah seperti orang yang ada RM10,000. Jika anda ada RM1,000,000 maka berbelanjalah seperti mempunyai RM1,000,000. Yang penting anda tidak berhutang dan tidak diisytiharkan MUFLIS.
Kad Debit juga tidak menyusahkan peniaga kerana bayaran dibuat terus kepada mereka berbanding Kad Kredit yang perlu melalui beberapa proses sebelum transaksi disahkan dan duit mereka diterima. Sekaligus akad jual-beli itu sah kerana membeli dan membayar secara tunai. Bukannya "saya beli barang ini sekarang, bank akan bayar kepada anda kemudian".
Saya tinggalkan anda dengan penjelasan mengenai laporan berita di atas.
Jumlah keseluruhan hutang kad kredit Malaysia : RM27.1 bilion (RM 27, 100, 000, 000 . 00)
Hutang semasa (masih guna dan belum muflis) : RM24.7 bilion (RM 24, 700, 000, 000 . 00)
Hutang tak berbayar (samada muflis atau mati) : RM500 juta (RM 500, 000, 000 . 00)
Adakah anda berbangga menjadi sebahagian daripada data ini? Tepuk kocek, periksa dompet :-)