Assalamualaikum dan salam sejahtera. Berjumpa lagi di PandaiSimpan, alhamdulillah. Semoga anda semua berada dalam keadaan sihat dan diredhai-Nya sentiasa.
Seperti yang kita ketahui negara kita sedang mengalami musim panas dan krisis ini dijangka akan terus berlanjutan sehingga akhir Mac nanti. Suhu harian yang dicatatkan di seluruh negara agak tinggi iaitu sehingga 34 darjah celcius. Semoga itu adalah catatan suhu tertinggi kerana kita tidak mahu menerima bahang yang lebih teruk lagi, amin.
Persoalannya: Adakah cuaca mempengaruhi kewangan anda? Jika jawapan anda adalah tidak, alhamdulillah. Tetapi jika jawapan anda adalah ya, bagaimana mengatasinya? Teruskan bacaan anda sehingga ke akhir penulisan saya ini.
Sedar tak sedar musim panas yang melanda ini sebenarnya meningkatkan perbelanjaan anda. Bagaimana? Begini caranya:
- Apabila kita lebih kerap menggunakan penghawa dingin (aircond) atau kipas di rumah maka bil eletrik akan meningkat. Penghawa dingin atau kipas juga akan digunakan lebih lama berbanding sebelum ini sekaligus kita menggunakan lebih banyak tenaga eletrik.
- Apabila menggunakan penghawa dingin kita menutup tingkap, maka rumah akan menjadi gelap. Kita akan membuka lampu pada siang hari dan sekali lagi kita menggunakan lebih eletrik daripada hari-hari biasa.
- Cuaca panas membuatkan kita haus, seharusnya kita minum banyak air dan jarang kita tidak tergoda dengan jus jambu, air sirap, dan ABC yang mudah didapati kini. Tanpa sedar kita akan berbelanja lebih dalam soal makanan dan minuman.
- Cuaca panas juga mengakibatkan kita menggunakan penghawa dingin kereta dengan lebih kerap. Bagi membolehkan suhu dalam kereta memberikan kenyamanan kepada kita, penghawa dingin berfungsi dengan menggunakan lebih tenaga sekaligus meningkatkan penggunaan minyak kereta.
- Kita juga akan mengalami masalah kesihatan seperti demam, batuk dan sakit kepala dengan lebih kerap. Lebih teruk lagi jika anak-anak kita mengalami masalah berkenaan. Semua ini menyebabkan kita mengeluarkan belanja perubatan yang lebih daripada biasa.
- Suhu panas di dalam rumah berpunca daripada sinaran cahaya matahari. Jika kita dapat mengurangkan pendedahan rumah kepada cahaya matahari seperti dengan menggunakan bidai atau tirai maka suhu akan lebih rendah dan kita tidak perlu menggunakan penghawa dingin atau kipas dengan kerap. Paling baik jika kita dapat meneduhkan rumah dengan pokok-pokok menghijau yang menyejukkan mata memandang serta menyegarkan udara.
- Sebaiknya gunakan langsir nipis yang membolehkan cahaya menembusi ke dalam rumah tetapi masih berfungsi mengehadkan pandangan dari luar.
- Bawa bekalan air masak dari rumah ke tempat kerja atau sekolah. Biasakan meminum air masak jika haus. Air sejuk memang melegakan namun ia tidak elok diamalkan kerana akan melemahkan badan.
- Letak kereta di tempat yang teduh supaya apabila ingin menggunakannya kita tidak perlu memasang penghawa dingin dengan kuat. Jika anda terpaksa meletak kereta di tempat yang panas bukakan sedikit tingkap supaya udara panas tidak terperangkap (pastikan tempat itu selamat).
- Sekali lagi, banyakkan minum air masak kerana ini membantu merendahkan suhu badan anda dan memastikan organ-organ badan dapat berfungi dengan baik. Minimumkan kehilangan cecair dalam badan dengan memakai baju yang tidak terlalu tebal seperti jaket dan kot jika tidak perlu. Pakailah yang bersesuaian asalkan menutup aurat :-)
