Bekas Presiden British, Tony Blair sering kali menjadi bahan jenaka di ruangan media kerana kesilapannya dalam menyebut perkataan 'assure' menjadi 'ashooer'. Kelihatan seolah satu kesilapan yang ringkas dan tidak perlu diperbesarkan tetapi itulah silapnya, jangan sesekali memandang rendah pada teknik berkomunikasi kerana pengaruhnya amat besar pada zaman ini.Lihat pada gambar iklan 'hotdog' di atas yang dieja menjadi 'hokdok' dan senarai harga jualannya yang mengelirukan. Sudah pasti pengunjung akan sentiasa terkeliru dan mentertawakan pemiliknya setiap kali mereka berkunjung ke situ.
Sebab itulah penting bagi setiap individu baik ahli politik mahupun penjual 'hotdog' mempelajari teknik berkomunikasi dengan betul kerana bahasa sememangnya mencerminkan peribadi, hasrat dan keintelektualan. Seperti kata Profesor Dr. Abdul Mua'ti @ Zamri Ahmad dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (UPK) dalam bukunya yang bertajuk Panduan Pengucapan Awam (2002), hanya komunikasi yang berkesan yang dapat mengubah pendengar dari segi pemahaman, pengertian, kepercayaan, sikap, dan kesediaan mereka untuk bertindak.
Oleh itu, jika ingin menjadi seorang komunikator yang berjaya seseorang itu mestilah memastikan mesej yang disampaikan olehnya diterima dan difahami oleh penerima. Sebarang respon adalah bonus, bergantung kepada tujuan komunikasi itu diwujudkan. Jika anda merupakan seorang pemidato yang berucap di pentas kebiasaannya anda tidak memerlukan respon, tetapi jika anda adalah seorang promoter yang sedang mempromosikan perkhidmatan atau produk sudah semestinya anda mengharapkan respon sebagai pelengkap kepada persembahan anda.
Berikut adalah beberapa tips yang boleh dijadikan panduan dalam memperbaiki dan meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi:
- PENGETAHUAN : Perbualan tanpa ilmu ibarat percakapan kosong yang tidak membawa makna. Seeloknya persiapkanlah diri dengan ilmu yang bersesuaian dan pada masa yang sama buka minda anda untuk menerima ilmu yang mungkin akan disampaikan oleh pihak kedua. Ini penting bagi mengelakkan ketandusan idea atau komunikasi menjadi tergagap-gagap.
- LATIHAN : Tiada individu yang dilahirkan dengan keupayaan semulajadi untuk berucap di khalayak umum atau mempromosikan produk perniagaan, semua kemahiran ini diperolehi melalui latihan. Setiap orang perlu melalui peringkat rasa malu, buat silap dan tiada idea (blank) sebelum berjaya menjadi komunikator yang berjaya. Berlatihlah dengan membuat skrip, berdialog di dalam hati, membaca di hadapan cermin atau kawan-kawan.
- MENGAKU SALAH : Akui kesilapan jika ternyata anda silap. Sesetengah individu enggan mengakui kesilapan mereka dengan alasan 'nasi sudah menjadi bubur' sedangkan mereka tidak tahu kemungkinan buruk yang akan berlaku jika dibiarkan maklumat yang salah itu terus disebar-sebarkan. Sebaik-baiknya anda meminta maaf dan memberi maklumat yang lebih tepat.
- LIHAT MATA : Pendengar akan lebih yakin dan mudah terpengaruh jika kita berkomunikasi sambil memandang mata atau wajah mereka. Ini akan menimbulkan keyakinan dan rasa selamat, sekalipun maklumat itu tidak benar. Buktinya adalah ramai yang terpedaya dengan kata-kata geng 'skim cepat kaya' walaupun mereka sekadar berucap kosong dan tidak menggunakan ilmu hitam.
- HUMOR : Bukan semua orang mampu membuat lawak atau berjenaka dalam perbualan, tetapi apa salahnya mencuba? Caranya mudah, hari ini anda dengar seorang teman pejabat berjenaka tentang sesuatu topik dan apabila anda bertemu rakan yang lain di kedai kopi cubalah mengulangi jenaka yang sama. Siapa tahu mungkin akan timbul keserasian dan perbualan akan jadi lebih santai.
- INTERAKSI : Komunikasi sehala tidak selalunya bagus. Ia seolah menyekat kebebasan bersuara dan mengurangkan manfaat yang mampu diperolehi dari perbualan itu. Cuba libatkan pendengar dalam komunikasi dengan cara mengajukan soalan atau meminta pandangan peribadi mereka. Ini sekaligus akan mengelakkan mereka menjadi bosan dan hilang minat.
- MEMBACA : Jika anda ingin menjadi lebih mahir dalam berbahasa, samada melayu atau inggeris atau lain-lain, amalkan membaca dan menyebut secara serentak. Contohnya dengan membaca akhbar dan menyebut secara perlahan, atau membaca novel bahasa inggeris dan menyebutnya secara perlahan, ini akan mempercepatkan anda menguasai bahasa berkenaan sekaligus meningkatkan kemahiran dalam berkomunikasi.
- EKSPRESI : Bertenang dan sentiasa senyum. Jika perlu, beri respon lain sekadar yang diperlukan. Jangan mudah goyah atau melenting jika ada pihak tidak bersetuju atau membangkang ucapan anda. Biarkan mereka menghabiskan ucapan sebelum anda memberikan maklum balas. Pastikan senyuman tidak lekang dari bibir sebagai tanda anda yakin pada kebenaran dan tidak mudah mengalah.
- IDOLA : Jika anda masih gugup, cubalah meniru gaya idola anda. Jika anda meminati seorang tokoh usahawan muda, berucaplah dengan gaya beliau jika itu mampu memberi anda keyakinan dan kefasihan. Tidak semestinya perlu bercakap tanpa henti seperti mereka, cukuplah sekadar mengambil semangat dan keyakinan mereka buat pedoman dan panduan ketika berkomunikasi.
- BERSEDIA : Pastikan anda mempunyai masa yang cukup untuk membuat persediaan sebelum berucap atau membuat persembahan. Periksa catatan dan bahan-bahan yang akan digunakan sebelum majlis bermula. Jangan cemas dan sentiasa bertenang supaya anda tidak mengalami 'darah gemuruh' nanti. Sebaik-baiknya berselawat dan mulakan dengan memuji nama Allah. Semoga berjaya! :-)
0 Komen