Persoalannya: KE MANA WANG ANDA?

Merancang kewangan peribadi mahupun keluarga perlu dilakukan dengan teliti serta seawal yang mungkin. Tingkatkan ilmu kewangan, jadi bijak wang dan mulakannya sekarang!

Pahatkan di minda: "sediakan payung sebelum hujan".

Put in mind: "it wasn't raining when Noah built the ark".

Pengeluaran Pelaburan KWSP

Ditulis oleh: Healmie Zahari Wednesday, December 23, 2009 5 Komen


Salam sejahtera, salam penuh ceria saya ucapkan kepada semua pengunjung PandaiSimpan. Bertemu lagi kita di sini, alhamdulillah. Pada kali ini penulis ingin berkongsi maklumat tentang Pengeluaran Pelaburan KWSP. Pengeluaran ini membolehkan ahli-ahli KWSP mengeluarkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan mereka. Sebagai rujukan, pada suku ketiga tahun 2008 KWSP telah mencatatkan pengeluaran pelaburan ahli sebanyak RM808.53 juta!!! Anda bila lagi?

KELAYAKAN MEMOHON
Berikut merupakan antara kriteria-kriteria ahli KWSP yang layak memohon:
  1. Warganegara Malaysia
  2. Bukan Warganegara Malaysia yang memperolehi taraf Penduduk Tetap (PR)
  3. Belum mencapai umur 55 tahun pada tarikh permohonan diterima
  4. Anda mempunyai simpanan Akaun 1 yang melebihi jumlah Simpanan Asas sebanyak RM5000 dan ke atas. (akan diterangkan di bawah)
SYARAT-SYARAT PENGELUARAN
KWSP telah menggariskan beberapa panduan pengeluaran, antaranya:
  1. Pelaburan tidak boleh dilakukan secara tunai. Wang akan dipindahkan dari KWSP terus ke akaun pelaburan anda. Ini mengelakkan wang disalahguna atau berlaku kehilangan.
  2. Pelabur tidak dibenarkan menambah pelaburan menggunakan wang sendiri. Penambahan pelaburan ke dalam akaun pelaburan hanya boleh dibuat menggunakan wang KWSP. Jika ingin melabur secara tunai atau cek perlu buat akaun berasingan.
  3. Pelaburan baru atau tambahan hanya boleh dibuat setiap 3 bulan sekali sahaja. Ini untuk memberi peluang simpanan KWSP anda bertambah. Setiap pelaburan baru atau tambahan perlu mengisi borang yang ditetapkan oleh KWSP.
DOKUMEN-DOKUMEN YANG DIPERLUKAN
Sebelum memulakan pelaburan sila pastikan anda mempunyai dokumen yang diperlukan serta mengisi borang-borang yang berkenaan dengan lengkap:
  1. Borang Permohonan KWSP 9N (AHL)
  2. Borang Permulaan/Penambahan Pelaburan
  3. Borang Pelabur Baru
  4. Satu (1) salinan Kad Pengenalan (MyKad) / Kad Tentera / Kad Permastautin Tetap (PR), atau
  5. Satu (1) salinan Kad Pengenalan Polis beserta surat pengesahan majikan dan no.Polis, atau
  6. Satu (1) salinan Pasport jika bukan warganegara Malaysia.
JUMLAH YANG LAYAK DIKELUARKAN
KWSP hanya membenarkan ahli-ahlinya membuat pengeluaran sebanyak 20% daripada jumlah simpanan yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1. Biar saya jelaskan bagaimana pengiraan berkenaan dibuat melalui contoh ini:

Obama berumur 24 tahun. Beliau ingin membuat pengeluaran pelaburan dan mempunyai simpanan sebanyak RM18,000 dalam Akaun 1 KWSP. Mengikut peraturan yang ditetapkan Obama hanya boleh mengeluarkan 20% daripada jumlah simpanan yang melebihi simpanan asas dalam Akaun 1. Berikut merupakan Jadual Simpanan Asas KWSP:



Berdasarkan jadual di atas Obama mesti mempunyai sekurang-kurangnya RM8,000 di dalam akaun beliau. Ini bermakna beliau mempunyai lebihan sebanyak RM10,000 lagi. Obama boleh mengeluarkan 20% daripada simpanan lebihan RM10,000 ini untuk pelaburan, ini bersamaan dengan RM2,000.

Formula pengiraan mudah: (Akaun 1 - Simpanan Asas) x 20% = RM2000. Maka, untuk pelaburan pertamanya Obama hanya boleh melaburkan RM2000 sahaja.

DANA-DANA YANG DILULUSKAN KWSP
Bagi memastikan ahli-ahlinya tidak melabur dengan pihak atau syarikat yang tidak bertauliah KWSP hanya meluluskan Pengeluaran Pelaburan kepada institusi pengurus dana yang berdaftar seperti Public Mutual Islamic dan lain-lain. Berikut penulis senaraikan dana-dana yang diluluskan oleh KWSP beserta laporan prestasi terkini dana-dana yang berkenaan:
  • Dana P.Islamic Income 6.88% (23 Dis 2008 - 23 Dis 2009) rujukan
  • Dana P.Islamic Equity 108.73% (17 Jun 2003 - 23 Dis 2009) rujukan
  • Dana P.Islamic Dividend 50.07% (6 Mac 2006 - 23 Dis 2009) rujukan
  • Dana P.Islamic Balanced 32.55% (10 Okt 2005 - 23 Dis 2009) rujukan
  • Dana P.I. Sector Select 6.24% (3 Dis 2007 - 23 Dis 2009) rujukan
  • Dana P.I. Money Market 6.67% (5 jun 2007 - 23 Dis 2009) rujukan
  • Dana P.I. Optimal Growth 33.62% (23 Dis 2008 - 23 Dis 2009) rujukan
  • Dana P.I. Select Treasures 28.59% (23 Dis 2008 - 23 Dis 2009) rujukan
  • Dana P.I. Select Enterprises 25.47% (14 Ogos 2008 - 23 Dis 2009) rujukan
Penulis menggalakkan para pembaca sekalian merancang masa depan dengan lebih teliti supaya dapat menikmati kehidupan yang bahagia bersama insan-insan tersayang. Melaburlah untuk kehidupan yang lebih gemilang. Berbincanglah bersama keluarga atau rakan-rakan dan semoga semua beroleh manfaat hasil pelaburan yang bijak.

Website KWSP: www.kwsp.gov.my
Infoline KWSP: 03-8922 6000
Handphone Saya: 013-9716654 / 012-2395106

Kisah Benar: peluang yang dilepaskan

Ditulis oleh: Healmie Zahari Saturday, December 19, 2009 2 Komen



Berikut merupakan ringkasan kisah benar yang dialami sendiri oleh penulis PandaiSimpan:

Beberapa hari lalu, penulis berhadapan dengan pengalaman yang penuh pengajaran. Kisah yang pernah penulis dengar mengenai sikap atau pemikiran negatif masyarakat mengenai wang dan pelaburan tanpa disangka-sangka telah dilalui sendiri oleh penulis.

Begini, dua orang dewasa yang usia mereka penulis anggarkan sekitar 40an telah mendapat peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelaburan unit amanah islamik. Seorang memandu Mercedes manakala seorang lagi memandu Kancil. Maklumat yang penulis berikan kepada mereka adalah sama, sama, dan sama, langsung tiada perbezaan. Namun, apa reaksi mereka?

Pemandu Mercedes: meluangkan masa meneliti maklumat, termenung, dan tidak memberikan keputusan.

Pemandu Kancil: melihat sekilas pandang, memandang ke arah lain, dan tidak memberikan keputusan.

Penulis langsung tidak terkilan dengan keengganan mereka menjadi pelabur, rezeki ada di mana-mana, insyaAllah. Namun, yang penulis kesalkan adalah sikap sesetengah masyarakat yang langsung 'membutakan mata, memekakkan telinga' apabila berhadapan peluang menambah pengetahuan.

Pemandu Mercedes setidak-tidaknya meluangkan masa untuk meneliti dan membuat pertimbangan walaupun akhirnya tidak menyatakan persetujuan. Beliau faham dan mungkin memerlukan masa untuk berfikir.

Pemandu Kancil pula langsung tidak mendapat apa-apa maklumat dan tidak membuat apa-apa pertimbangan dan akhirnya terus tidak menyatakan persetujuan. Entah apa sebabnya penulis pun tidak pasti.

Jika penulis merupakan seorang yang mengejar kekayaan dalam menjalankan tugas, sudah pasti tidak mudah penulis melepaskan mereka begitu sahaja, maklumlah siapa yang tidak mahu meraih keuntungan hasil pekerjaan mereka. Namun, kerana penulis menganggap diri lebih kepada seorang yang tugasnya menyebarkan maklumat dan menimbulkan kesedaran kewangan maka penulis agak sederhana dalam mendekati prospek.

Yang penting adalah penulis hanya mahu berkongsi ilmu dan pengetahuan, jika prospek faham dan berminat untuk melabur, alhamdulillah. Jika tidak berminat pun tidak mengapa kerana perkongsian ilmu dan pengetahuan itu sebenarnya sudah memberikan kepuasan kepada penulis lantaran ianya juga merupakan suatu bentuk 'pelaburan' penulis untuk ke 'sana'...insyaAllah.

Bijak macam UPIN, bukan IPIN

Ditulis oleh: Healmie Zahari Saturday, December 12, 2009 0 Komen



Salam sejahtera buat semua, bertemu lagi di PandaiSimpan. Hari ini penulis ingin bercerita tentang adik beradik kembar yang popular di Malaysia; UPIN dan IPIN. Buat pengetahuan anda, Upin adalah si abang manakala Ipin pula si adik. Seperti yang kita selalu saksikan di televisyen kerja mereka sehari-hari hanyalah menikmati alam kanak-kanak hingga ke tahap maksimum. Keletah mereka mencuit hati, suci dan sarat dengan mesej-mesej yang berguna.

Tahun demi tahun, mereka semakin dewasa. Dari alam tadika ke sekolah rendah, kemudian mereka bersama-sama ke MRSM dan Universiti Teknologi Petronas, lalu menamatkan pengajian dengan keputusan cemerlang. Upin kemudiannya bekerja sebagai eksekutif kanan di Petronas manakala Ipin pula sebagai penyelidik, juga di Petronas.

Sebagai seorang abang yang matang Upin mencadangkan kepada Ipin supaya mereka berdua melabur, tidak banyak, hanya masukkan RM1000 setahun dengan purata pulangan tahunan sebanyak 10%. Namun cadangan itu tidak mendapat sokongan Ipin. Upin bagaimanapun meneruskan rancangannya untuk melabur ketika usianya mencecah 25 tahun.

Upin melabur ke dalam Dana A sejak berumur 25 tahun dan setiap tahun dia menambah pelaburannya sebanyak RM1000. Tetapi ketika usianya mencecah 35 tahun Upin melabur ke dalam Dana B pula dan membiarkan pelaburan Dana A terus berkembang.

Ipin pula baru mula melabur ke dalam dana A ketika berusia 35 tahun. Dia menambah pelaburannya setiap tahun sebanyak RM1000. Masa terus berlalu sehingga akhirnya mereka berdua berumur 56 tahun dan inilah hasilnya:



UPIN hanya memasukkan RM10,000 dan memperolehi jumlah pulangan terkumpul RM142,709. Ini bermakna dia mendapat pulangan 14.2 kali ganda!!!

Manakala IPIN pula telah memasukkan RM22,000 tetapi hanya memperolehi jumlah pulangan terkumpul RM55,020. Ini bersamaan dengan pulangan sebanyak 2.5 kali ganda sahaja.

Terkejut? Inilah kebenarannya, semakin awal pelaburan dimulakan semakin tinggi potensi untuk menikmati pulangan lumayan. Contoh di atas hanya mengambil kira purata pulangan tahunan 10% setahun, bagaiman jika puratanya lebih tinggi? Sudah tentu Upin semakin bertambah kaya berbanding Ipin!

Dana P. Ittikal (purata pulangan tahunan 17.6%)
Dana P. Islamic Equity (purata pulangan tahunan 21.7%)
Dana P. Islamic Dividend (purata pulangan tahunan 12.5%)
Dana P. Islamic Opportunities (purata pulangan tahunan 17.2%)
Dana P. Islamic Select Enterprises (purata pulangan tahunan 25.5%)

Sukar untuk percaya? Hubungi operator di talian 103 dan minta sambungan ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Public Mutual untuk pemeriksaan. Hubungilah sesiapa sahaja kerana anda ada hak untuk membuat kajian sebelum melabur. Selepas itu, hubungi saya :-)

WANG saya WANG anda juga :-)

Ditulis oleh: Healmie Zahari Friday, December 11, 2009 0 Komen



Benar, wang saya (jika ada) wang anda juga! Mesti ramai yang pelik dengan kenyataan penulis, mungkin ada yang menggosok-gosok mata untuk memastikan apa yang mereka baca ini tidak salah. Ya, penulis memang maksudkannya. Wang milik penulis adalah wang anda juga iaitu sebanyak 2.5% dari jumlah keseluruhan pendapatan penulis sepanjang tahun; ZAKAT.

Memetik dari http://zakat.com.my/info-zakat: Zakat adalah salah satu daripada Rukun Islam yang lima. Ianya diwajibkan ke atas individu Muslim yang cukup syaratnya. Harta yang diwajibkan zakat juga ada ciri-cirinya. Zakat sangatlah tidak membebankan dan ianya berfungsi untuk meringankan beban golongan yang memerlukan.

Firman Allah yang bermaksud: "Ambillah (sebahagian) dari harta mereka untuk dijadikan sedekah (zakat), supaya dengannya kamu membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk)." Surah At-Taubah, 103.

Zakat selain membantu mereka yang memerlukan turut membantu diri kita dengan cara-cara yang tidak kita sangka. Zakat melahirkan individu yang prihatin, murah hati dan berkasih sayang.

Pesan seorang ustaz, kemahuan itu ibarat gudang yang yang tidak pernah penuh. Semakin kita isi semakin kita rasa tidak cukup. Usahlah diturutkan kemahuan sebaliknya turutilah keperluan. Keperluan itu yang sebenarnya melahirkan rasa cukup pada apa yang ada.

Harta yang banyak tetapi tidak menjadikan pemiliknya seorang yang serba cukup disamping suka memberi, mungkin perlu diperiksa punca datangnya: sumber HALAL atau HARAM? Wallahua'lam.

Kawan MAKAN Kawan

Ditulis oleh: Healmie Zahari Sunday, December 6, 2009 4 Komen


Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pembaca PandaiSimpan, semoga anda berada dalam keadaan yang sihat dan wang anda selamat. Kali ini saya ingin mengajak anda menyelami suatu isu yang sangat kerap berlaku kepada diri kita dan orang-orang di sekeliling kita; KAWAN MAKAN KAWAN.

Pepatah ada mengatakan: "berkawan biar seribu, berkasih biar satu." Kita semua setuju kerana ada benarnya pepatah itu; kawan amat penting dalam hidup kita kerana mereka selalu bersama kita dan saling menghulurkan bantuan ketika kesusahan. Tanpa mereka siapalah kita.

Namun begitu, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Kawan hari ini boleh bertukar menjadi lawan pada hari esok. Rakan pada hari ini boleh bertukar menjadi ratapan pada hari esok. Semuanya mungkin atau pernah berlaku kepada kita semua dan puncanya adalah WANG!

Kisah Benar (1)
Kisah ini saya lalui pada tahun 2007, ketika saya masih menuntut di UNISEL. Rakan sekelas saya, Siti meminta pendapat saya tentang sebuah peniagaan MLM yang namanya bermula dengan huruf 'L'. Lalu saya memberi pendapat saya, dari segi perundangan dan hukum, lalu Siti menjelaskan bahawa dia sebenarnya mahu saya membantu beberapa rakannya yang terjebak dengan perniagaan 'L' yang menyalahi undang-undang.

Pada malam yang ditetapkan saya telah membawa rakan-rakan Siti ke lokasi yang dimaksudkan untuk menyelidik lebih lanjut tentang perniagaan 'L' dan bertemu dengan ketuanya. Rupa-rupanya pihak penganjur telah menyediakan beberapa buah bas untuk 'menculik' (kerana tiada dokumen rasmi) pelajar-pelajar dari kampus dan dibawa ke lokasi 'taklimat perniagaan' di Menara 'L'.

Dipendekkan cerita, sesi 'taklimat perniagaan' ditamatkan dan semua peserta menaiki bas ke sebuah kedai mamak. Waktu sudah melewati 12 tengah malam. Ketika di kedai mamak itulah peserta-peserta dijamu sambil dipujuk oleh upline-upline supaya menyertai perniagaan 'L'. Memang licik.

Saya menolak ajakan mereka untuk makan atau minum. Sebaliknya saya terus membawa rakan-rakan Siti berjumpa ketua kumpulan itu, seorang lelaki berusia sekitar 40an, lalu meminta supaya hak mereka (wang, handphone dan laptop) yang telah diambil oleh kumpulan 'L' sebagai bayaran penyertaan dipulangkan. Lelaki itu memberikan pelbagai alasan seperti wang telah dibayar kepada syarikat, laptop telah dijual, dan sebagainya namun saya bertegas mahu semuanya dipulangkan.

Selang seminggu saya diberitahu semuanya telah dipulangkan dan kes itu selesai. Rupa-rupanya rakan-rakan Siti diperdayakan oleh teman sekelas mereka yang juga pelajar UNISEL untuk menyertai perniagaan 'L' itu. Mereka dipaksa mengeluarkan duit PTPTN, menyerahkan handphone dan laptop sebagai yuran penyertaan dan dijanjikan keuntungan yang lumayan kerana "goyang kaki, duit masuk". Mengarut!

Fail rujukan kes ini masih terdapat di balai polis BB dan UNISEL dengan nama saya sebagai pembuat laporan.

Kisah Benar (2)
Liza, seorang rakan sepersatuan ketika di UNISEL juga pernah meminta bantuan saya kerana dia telah dipujuk oleh rakan sekelasnya untuk menyertai sebuah perniagaan MLM. Rakannya itu berterusan memujuk dan mengajak keluar minum sambil bertemu 'leader' bagi mendapat penerangan lebih jelas tentang peniagaan tersebut. Liza tidak ingin menyertainya dan itu adalah hak peribadi beliau yang patut dihormati oleh seorang wakil atau ejen yang professional, namun rakan Liza tetap mengganggunya.

Akhirnya pada malam yang ditetapkan saya menemani Liza bertemu rakannya itu di hadapan perpustakaan. Saya menjelaskan kepada kawan Liza bahawa Liza tidak mahu menyertai perniagaan MLM itu dan meminta supaya dia tidak meneruskan ajakannya. Namun permintaan saya tidak diendahkan malahan dia menjawab dengan kasar dan menyuruh Liza masuk ke dalam kereta. Saya bertegas menghalang dan berlaku pertengkaran di antara kami.

Akhirnya saya berjaya menghalang pelajar perempuan itu daripada membawa Liza ke sesi 'taklimat perniagaan' di sebuah restoran di luar kampus, di mana upline-upline lain dan 'leader' sedang berkumpul. Begitulah hebatnya pengaruh 'agama' MLM ini sehingga sanggup memaksa, mengugut dan menipu kawan-kawan sendiri. Kononnya ingin membantu menjana pendapatan mudah melalui klik dan kedai online serta menjadi jutawan dengan hanya cari downline, goyang kaki, duit masuk.

Selepas peristiwa itu saya menerima pelbagai SMS yang bernada ugutan selama lebih sebulan. Malangnya semuanya telah tiada dalam simpanan. Maaf.

Ciri-ciri MLM dibenarkan ISLAM
Berikut adalah antara syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh syarikat atau perniagaan yang menggunakan sistem MLM bagi memastikan ianya mematuhi Syariah:
  1. Produk yang diberi atau dijual benar-benar bermanfaat kepada pembeli, dihasilkan secara berkualiti dan harganya setanding dengan harga pasaran. Produk yang tidak bermanfaat kepada ejen atau downline seperti barangan kesihatan, alat eletrik dan produk-produk pengguna yang diberi ketika pendaftaran serta perlu dijual semula untuk mendapatkan modal adalah tidak sah.
  2. Tidak mengamalkan strategi piramid iaitu siapa masuk awal dia berada di atas selama-lamanya. Ini tidak dibenarkan kerana menindas downline atau mereka yang masuk kemudian. Sepatutnya downline boleh memintas upline mereka jika mereka membuat jualan yang lebih banyak.
  3. Setiap upline atau leader mesti memberi sumbangan kepada downline jika ingin menerima komisen atau overriding daripada jualan downline. Upline mestilah memberikan taklimat, latihan, bimbingan dan motivasi kepada downline masing-masing. Perlu ada usaha yang lebih dari sekadar merekrut atau cari ahli. Tetapi jika downline sudah terlalu jauh ke bawah sampai berpuluh-puluh peringkat bagaimana upline boleh menerima komisen sedangkan dia langsung tidak mengenali downline itu? Inilah yang tidak dibenarkan syariat.
  4. Mempunyai Panel Penasihat Syariah yang diiktiraf kerajaan dan dilantik oleh syarikat itu sendiri. Ahli-ahli panel yang berkelayakan ini akan memantau dan menasihati pihak pengurusan syarikat dalam bidang teknik pemasaran, pelan perniagaan, komisen dan bonus.
  5. Diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan diiktiraf sebagai Mematuhi Syariah. Suruhanjaya Sekuriti bertanggungjawab memeriksa status sesebuah syarikat samada ia menjalankan perniagaan yang mematuhi undang-undang atau tidak. Jika syarikat berkenaan mematuhi undang-undang, ia akan dinilai pula dari sudut syariah. Akhirnya akan dimasukkan ke senarai syarikat yang disahkan serta patuh Syariah atau syarikat yang disahkan dan tidak patuh Syariah.
Kesimpulannya, berhati-hatilah selalu. Saya dan juga anda sudah tentu tidak ingin terjebak dengan perkara-perkara yang tidak sah dan meragukan seperti ini, apatah lagi menjadikannya sumber pendapatan untuk menyara diri dan keluarga. Janganlah kita meraih kesenangan dengan menindas pihak lain. Lebih-lebih lagi jika hasilnya digunakan untuk menyediakan sepinggan nasi untuk anak-anak, menyekolahkan mereka atau membeli kereta dan rumah. Semoga kita mampu mengelakkannya, insyaAllah.



Hapuskan PTPTN dari kamus hidup anda!

Ditulis oleh: Healmie Zahari Saturday, December 5, 2009 0 Komen



Setiap ibubapa mengimpikan anak mereka mendapat pendidikan yang terbaik, samada di dalam atau di luar negara. Ini kerana mereka percaya kualiti pendidikan yang diperolehi bakal mempengaruhi masa depan anak-anak mereka. Namun, realiti zaman sekarang tiada 'sesuatu' yang percuma, lebih-lebih lagi jika merujuk kepada 'sesuatu' yang dikelaskan sebagai terbaik. Benar, pendidikan yang terbaik didatangkan bersama harga yang 'terbaik' yang selalunya di luar kemampuan kebanyakan ibubapa.

Jika perbelanjaan yang diperlukan untuk seorang anak mula melangkah masuk ke alam universiti sudah mencecah ribuan ringgit, cuba bayangkan kos yang si anak perlukan sepanjang bertahun-tahun berada di universiti? Bagaimana pula jika menyambung pengajian di IPTS atau luar negara? Mari kita lihat selanjutnya.

Berikut adalah perbelanjaan yang perlu disediakan jika ingin menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda (rujukan 2009):



Bagaimana, adakah anda mampu? Jika jawapan anda adalah YA, mari kita beralih ke waktu 15 tahun yang akan datang di mana anak anda yang kini berusia 3 tahun akan melangkah masuk ke alam universiti. Untuk pengiraan kali ini saya ingin menjemput seorang tetamu istimewa untuk menyertai kita, saya mempersilakan encik INFLASI untuk naik ke pentas! Untuk makluman anda semua, tugas utama encik INFLASI adalah meningkatkan kos perbelanjaan pendidikan sebanyak 5% setahun. Ini kerana adalah mustahil semua universiti yang disenaraikan di atas akan mengekalkan yuran pengajian mereka setiap tahun, tidak dapat tidak pihak universiti perlu meningkatkan yuran pengajian lantaran peningkatan kos pengurusan, penambahbaikan, dan lain-lain. Apa akan terjadi jika kos pendidikan meningkat sebanyak 5% setahun sepanjang 15 tahun? Sila lihat ini:



Jika jumlah yuran pengajian di atas sudah memeningkan kepala anda, apa akan jadi jika saya nyatakan pula jumlah perbelanjaan untuk sara hidup, penginapan, pengangkutan dan keperluan-keperluan lain? Anda mungkin akan tergamam dan hati anda akan lebih berbelah-bagi untuk mengizinkan anak-anak menyambung pengajian. Jangan begitu...setiap masalah ada penyelesaiannya, dengan syarat anda bermula dari awal.

Begini, andaikan tahun 2009 saya mempunyai 2 orang anak yang masing-masing berumur 3 dan 5 tahun. Saya akan menunjukkan bagaimana saya menyediakan dana/simpanan pendidikan supaya apabila tiba masanya nanti (tahun 2024) saya mampu menyediakan pendidikan berkualiti untuk mereka di Universiti Industri Selangor (IPTS). Terdapat dua cara:

DANA PENDIDIKAN
Jumlah perbelanjaan untuk yuran pengajian untuk anak-anak saya adalah RM 122,500 (RM 61,250 x 2). Jadi saya melaburkan wang sebanyak RM 30,000 dalam dana unit amanah yang dijangka akan memberi pulangan sekitar 11% setahun. Saya melabur hanya sekali dan tidak pernah menambah pelaburan atau mengeluarkannya. Jadi apabila tiba masanya pada tahun 2024 saya akan memperolehi RM 143,400!!! Ini sudah melebihi jumlah yang saya perlukan untuk yuran pengajian mereka, menarik bukan?

SIMPANAN PENDIDIKAN
Jumlah perbelanjaan untuk yuran pengajian untuk anak-anak saya adalah RM 122,500 (RM 61,250 x 2). Lantaran saya tidak memiliki wang yang banyak saya hanya mampu menabung sebanyak RM 360 setiap bulan dalam dana unit amanah yang dijangka akan memberi pulangan sekitar 9% setahun. Saya menabung setiap bulan tanpa henti dan saya juga tidak pernah mengeluarkan wang tersebut. Akhirnya saya akan menerima pulangan sebanyak RM 150,000 untuk digunakan sebagai perbelanjaan yuran pengajian anak-anak saya apabila mereka memasuki universiti pada tahun 2024. Segala penat-lelah saya menabung telah menampakkan hasil yang lumayan, berbaloi-baloi!!!



Ketika kita menghantar anak-anak ke sekolah, kita selalu berpesan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan keputusan yang cemerlang. Apabila mereka berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang dan menerima tawaran melanjutkan pengajian ke universiti, adakah kita mahu menghampakan harapan mereka?

Ingatlah, pinjaman PTPTN atau MARA belum tentu mampu membantu. Ini adalah kerana PTPTN dijangka akan mengalami defisit sebanyak RM 48 bilion pada tahun 2020 yang mana akan menyebabkan tiada lagi pinjaman akan diberikan. MARA juga dijangka akan mengalami nasib yang sama kerana keengganan peminjam-peminjam melunaskan hutang mereka. (rujukan)

Sediakan payung sebelum hujan...

PERIBADI PENULIS

My Photo
Saya membantu anda mencapai impian kehidupan melalui perancangan kewangan Islam yang strategik dan sistematik. Hubungilah saya: HEALMIE ZAHARI di 013-9716654 / 012-2395106 / pandaisimpan@yahoo.com

AHLI KOMUNITI "PANDAI SIMPAN"

CHATTING DI "PANDAI SIMPAN"