Salam sejahtera buat pembaca, akhirnya kita berjumpa lagi di PandaiSimpan. Pada kali ini penulis ingin mengajak anda untuk membicarakan tentang kepentingan memulakan simpanan atau pelaburan pada usia muda. Ikutilah entri ini sepenuhnya dan semoga kita akan sama-sama mendapat manfaat, insyaAllah.
Musim cuti sekolah merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh ramai orang untuk bercuti dan pulang ke kampung bertemu keluarga. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk melancong ke pelbagai lokasi menarik di serata Malaysia. Dan kebiasaannya pada waktu sebegini jugalah kita akan menerima undangan ke majlis-majlis perkahwinan.
Penulis juga tidak terkecuali menerima undangan daripada beberapa orang sahabat yang telah sampai jodohnya. Ada yang dekat, ada yang jauh. Mana yang mampu penulis hadiri walaupun terpaksa memandu jauh seorang diri. Di majlis-majlis yang penulis hadiri penulis bertemu dengan sahabat-sahabat lain yang sekian lama tidak bersua muka. Masing-masing sudah menamatkan pelajaran dan mempunyai kerjaya yang boleh dibanggakan bayarannya.
Maka, selaku seorang sahabat dan perunding unit amanah, penulis menyarankan mereka supaya merancang perbelanjaan dengan cermat dan menyediakan perlindungan insuran peribadi untuk perlindungan diri. Jika ada lebihan duit bolehlah dilaburkan ke dalam perkara-perkara yang memberi pulangan dan diluluskan Syariat, mengambil contoh terdekat, dana-dana Islamik oleh Public Mutual Berhad.
Penulis gambarkan diri penulis yang akan berumur 25 tahun pada tahun 2010. Andaikan penulis bekerja sebagai seorang guru, untuk contoh, dengan pendapatan bersih RM1900 sebulan penulis mampu untuk melabur sekurang-kurangnya RM100 setiap bulan. Sasaran penulis adalah untuk menunaikan haji bersama bakal isteri tercinta (sekarang masih bujang) pada usia 41 tahun. Maka bermula bulan Januari 2010 penulis melabur RM100 setiap bulan tanpa henti (boleh dipotong terus dari akaun atau secara tunai).
Merujuk kepada jadual di atas, jika selama 16 tahun penulis melabur RM100 sebulan tanpa henti, penulis telah melaburkan wang sebanyak RM20,200. Dan dengan jangkaan pulangan tahunan sebanyak 12% setiap tahun, akhirnya penulis menerima pulangan terkumpul RM63,591. Ini bermakna jika ditolak modal asas pelaburan, penulis telah berjaya memperolehi keuntungan bersih sebanyak RM43,391!!!
Dengan wang sebanyak itu penulis bukan sahaja mampu menunaikan haji bersama bakal isteri tercinta, tetapi boleh terus melancong ke Jordan untuk berbulan madu! =)
Para pembaca sekalian, inilah hasil pelaburan yang sedikit-sedikit tetapi jika berterusan akan jadi bukit. Maka janganlah hairan kenapa kaum Cina sanggup beratur sampai ke luar bangunan dan berdiri selama berjam-jam ketika kaunter pelaburan Malaysia dibuka untuk bukan Bumiputera. Fikir-fikirkanlah...





